Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pelajaran menjelaskan guru tidak akan berasa terbeban sekiranya
memahami konsep perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(PBS).
Kenyataan Lembaga Peperiksaan menyebut, daripada kajian soal
selidik yang dijalankan mengenai kesediaan guru melaksanakan PBS secara dalam
talian (online) pada September lalu mendapati 84.2 peratus daripada
46,929 guru Tingkatan 1 sekolah menengah seluruh negara memahami konsep PBS.
Kira-kira 90.7 peratus daripada 89,618 guru Tahun 1, 2 dan 3 sekolah rendah
juga didapati memahami konsep dan cara melaksanakan PBS.
''Kira-kira 9,006
atau 10 peratus guru Tahun 1, 2 dan 3 sekolah rendah dan 7,979 atau 17 peratus
guru Tingkatan 1 di sekolah menengah jelas tentang konsep Pentaksiran Sekolah
iaitu komponen akademik PBS," menurut kenyataan tersebut.
Selain itu,
menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, guru juga kurang memahami mengenai cara
melaksanakan pentaksiran seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran
(pentaksiran formatif).
Hal ini demikian kerana, kesukaran guru membina
instrumen pentaksiran yang pelbagai bentuk kerana masih terikat dengan fahaman
dan kebiasaan menilai pencapaian murid menggunakan ujian berbentuk kertas dan
pensel.
"Pengurusan evidens murid dalam PBS yang dikatakan memakan
masa yang banyak dan ruang yang besar adalah perlu bagi memastikan penguasaan
murid dalam pembelajaran direkod untuk melihat pertumbuhan dan perkembangan
murid sepanjang tempoh persekolahan'', kata kenyataan itu.
Bagi mengatasi
permasalahan itu, Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Fail Showcase (FS)
diperkenalkan.
Pendekatan itu membolehkan seorang murid memiliki sebuah FPM
sahaja untuk menyimpan evidens bagi semua mata pelajaran yang
dipelajarinya.
FS merupakan fail menyimpan evidens terbaik bagi semua
deskriptor untuk setiap mata pelajaran dan digunakan sebagai rujukan piawai
evidens serta disediakan mengikut tahun atau tingkatan bergantung kepada
keputusan Jawatankuasa PBS sekolah.
Pada masa yang sama, kesukaran guru
mengakses Sistem Pengurusan PBS telah dikenal pasti sebagai antara faktor
penyumbang kepada masalah yang dihadapi guru.
Langkah interim (bersifat
sementara) yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah
tersebut adalah dengan menyediakan hosting khas yang berasingan bagi
Sistem Pengurusan PBS dan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).
"Proses
migrasi hosting bagi sistem tersebut telah selesai dilaksanakan pada
akhir September lalu dan didapati sistem tersebut setakat ini stabil serta boleh
diakses," jelasnya.
Sementara itu, bagi memastikan guru Tahun 1, 2 dan 3 dan
Tingkatan 1 dan 2 memahami dan boleh melaksanakan PBS sebelum 31 Disember ini,
Lembaga Peperiksaan telah merangka pelan tindakan penambahbaikan pelaksanaan
PBS.
Antara perancangan tersebut termasuklah menyediakan Latihan
Hands-on PBS secara in-situ kepada pejabat pendidikan daerah dan guru
contoh PBS di seluruh negara.
Latihan ini dijalankan mulai pertengahan
Oktober hingga pertengahan Disember ini.
Lembaga Peperiksaan juga akan
menyediakan bahan sokongan dan khidmat pementoran PBS dalam talian bertujuan
membantu guru memahami dan boleh melaksanakan PBS seperti yang dihasratkan
sekali gus mengurus perubahan yang berlaku dengan baik setelah memahami konsep
agar mudah melaksanakan PBS nanti.